Seikhlasnya Aku Mengerti
Sekeping nota pengertian buat semua yang sentiasa merasa keseorangan
di setiap ujian.
Pengertian adalah apa yang
ditagihmu setiap kali diri dirempuh ombak ujian. Hati yang sedang dihimpit
bebanan masalah telah berjaya mencipta satu dunia baru dalam kehidupanmu. Dunia
yang sunyi yang didiami oleh kamu seorang; kerana manusia yang melihatmu berada
di dalam dunia itu hanya bisa berlalu dan bersangka sangka. Tiada yang ingin
menjejak ke dalamnya untuk menemani dan memahami.
Sedarlah wahai saudari, perasaan
memahami dan empati sebenarnya bukan datang daripada banyaknya pengalaman atau
ilmu. Tetapi ianya hadir daripada muhasabah dalam setiap doa dan taubat dalam
setiap sujud selepas setiap keterlanjuran kita sebagai seorang hamba.
Saudari peritmu ketika tiada yang
memahami, tiada siapa yang tahu. Sekalipun engkau cuba menceritaknnya kepada
orang yang kau percayai, aku yakin di suatu sudut, pasti kau terdetik “yakinkah
aku bahawa dia bakal memahami?”. Kerana manusia dalam sedar ataupun tidak, memang
penuh dengan kekurangan, selalu melakukan kejahatan dan kerosakan; walaupun
pada insan insan yang mereka sayangi.
Allah, cuma Allah yang satu, mampu
memahami dalam apa jua keadaan. Kerana dia sempurna dan bersih daripada semua sifat
kekurangan. Yakinlah saudari Dia melihat segalanya dan mengetahui segala isi
hati. Dia tahu kita terleka, dia tahu kita terluka. Dia sedia menerima taubat
dan sentiasa memberi ampunanNya.
Saudari terleka itu fitrahmu,
fitrah kita semua. Maka jangan terasa hilang harapan bila tersedar dari leka.
Kerana bapa Adam dan ibu Hawa juga pernah begitu. Namun harus diingati juga, jangan
menafikan terleka adalah perkara terhina. Bagaimana terleka bukan perkara
terhina sedangkan Allah sendiri sudah bercerita, lucutnya pakaian Adam dan Hawa
ketika mereka melanggar larangan di taman syurga? Namun kisahnya tidak tamat
disitu sahaja saudari.
Perhatikanlah bagaimana pula mereka
berdua memohon taubat dan menerima hukuman dari Allah dengan pasrah dan redha
sehingga akhirnya mereka bertemu kembali di Jabal Rahmah. Sekali lagi, jangan
berhenti memerhati setakat di sini. Ajukan satu persoalan pada diri, adakah
ujian mereka terhenti setakat disini? Masih ingatkah ketika Allah meguji anak
anak mereka, dengan kisah cinta segi tiga yang membawa kepada tragedi
pembunuhan pertama dibumi? Maka terjawab lah persoalan itu, ujian mereka belum
lagi tamat.
Initinya kita manusia akan sentiasa
diuji selagi kita masih menduduki bumi. Ujian akan datang sesuai dengan tahap
keimanan masing masing. Tidaklah hambaNya diduga melainkan mampu ditanggungnya.
Itu satu janji antara janji janji Allah; yang tak akan sekali kali
dimungkiriNya. Sesudah tersedar, mohonlah taubat dan terimalah segala hukuman
yang bakal datang. Ianya menjadi penghapus dosa dan pendekat kita dengan Allah.
Terlukanya hati kita pasti dapat dirawat dengan curahan cinta Allah yang
disuburkan dengan ketaatan.
Setelah itu jangan anggap bahagia akan datang
selamanya; kerana yang selamanya itu cuma di akhir nanti. Bersedialah untuk menghadapi ujian yang baru,
dengan keimanan yang baru dibentuk dan diperelok, juga dengan kekuatan yang
semakin bertambah seusai sedar dari setiap leka.
Saudari, terluka itu pasti. Kerana
dunia memang dicipta untuk melukakan kita. Tetapi apa yang tersiratnya adalah
sama seperti apa yang terjadi ketika kita terleka. Di setiap luka ketika pergi
beberapa orang yang kita percaya, akan hadirnya Allah dalam fikiran yang sudah
lama dipenuhi hiburan. Di setiap luka ketika disisih kerana cuba menjaga
syari’atNya, akan bertambah keyakinan terhadap syurga dan semakin jelas firman
firmanNya. Di setiap luka ketika gagal mencapai cita cita, pasti hadir rasa
syukur kerana ‘berjaya’ dipilih Allah untuk mengecapi nikmat Iman dan Islam. Sedarlah
disetiap luka psti ada sesuatu yang membawa nilai tambah kepada diri kita.
Kuncinya cuma satu- bersabar. Bersabarlah kerana itu menjadi bukti bahawa
engkau yakin Allah bersamamu. Bersabarlah dalam mencari hikmah. Bersabarlah
dalam meredhakan satu pemergian. Bersabarlah maka bahagia pasti sentiasa
bersamamu.
Saudari aku mengerti dirimu terasa
kerdil. Aku mengerti dirimu terasa tidak terdaya. Aku mengerti dirimu merasa
sia sia perjuangan ini. Aku mengerti dirimu perlukan sandaran dan pengertian.
Saudari, seikhlasnya aku mengerti kerana aku pernah alami yang sama. Dalam apa
pun yang Allah takdirkan untuk kau tempuhi, jangan lupa satu perkara- iaitu
yang sentiasa mengerti, yang sentiasa memahami, yang sentiasa menerima dan yang
sentiasa mencintai itu tidak pernah lenyap, tidak akan lenyap dan sentiasa
bersamamu.
With love, kinah
Comments
Post a Comment