Alim Mujahid | Ini medan kita

Perkongsian pendek kali ini lebih kepada dilema dan konflik berkaitan guru yang sering dihadapi pelajar.

Selagi kita masih bergelar pelajar, selagi itulah kita tidak akan pernah berhenti 'hidup' dengan para guru. Seperti pelajar, setiap guru juga mempunyai bermacam karakter dan personaliti.

Apabila sudah memasuki alam sekolah menengah, kita akan melihat guru pada sisi yang berbeza berbanding guru guru kita disekolah rendah. Apatah lagi bila sudah memasuki peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Alasannya cukup mudah. Kerana pelajar sekolah menengah dan pelajar institusi pengajian tinggi, akalnya tak sama seperti pelajar sekolah rendah. Maka tentulah cara untuk menghadapinya juga berbeza, sejurus karakter guru yang terbentuk juga akan berbeza.

Saudari, sebenarnya guru ini tidak jauh seperti ibu bapa kita. Seperti ibu bapa, niat mereka cuma satu - inginkan kita berjaya. Dan lumrahnya juga, setiap ibu bapa meletakkan pendekatan yang berbeza kepada anak masing masing.

Wahai saudari yang hidupnya bersama Islam, yang terpilih oleh Allah untuk mengenal Islam. Saudariku, diri kita sungguh bernilai. Kitalah yang akan menjadi tapak pada masyarakat. Dari jiwa besar kita lah akan terdidiknya masyarakat berpekerti tinggi. Dari sifat kita yang tidak mudah putus asa lah, berlakunya peningkatan dalam intelektual dan sensitiviti masyarakat.

"Allahumma la sahla illa ma anta sahla"

Tiada yang mudah bagi kita melainkan apa yang dimudahkan oleh Allah buat kita.

Sesungguhnya pada guru guru itu ilmu yang tidak ada pada kita. Pada mereka jugalah doa doa maqbul tersimpan rapi buat kita. Pada mereka juga adanya restu buat perjalanan jihad kita.

Saudari, ketahuilah pada setiap keluhan seorang guru, ada doa dipanjatkan buat kita. Pada setiap marah seorang guru, ada kekecewaan terhadap dosa mereka yang disangka  menjadi penghalang anak didik menerima apa yang mereka sampaikan. Pada setiap terkilan seorang guru, mereka pinta pengertian bahawa mereka tidak mahu kita berputus asa.

Hayatilah, sesungguhnya pada seorang guru itu terdapat pengorbanan yang terlalu besar, doa yang paling ikhlas dan segala macam yang baiknya yanh tidak layak untuk kita sama sekali meletakkannya sama dengan insan insan yang biasa yang seperti kita.

Yang adil itu harusnya Allah, bukan guru. Yang sentiasa mengerti itu haruslah Allah, bukan para guru. Tidak ada kerugian sedikit pun sekiranya kita terus bersabar dengan kekurangan guru guru kita. Mereka adalah murabbi, yang tetap harus kita thiqahi (percayai) dan hormati.

Berdoalah buat guru kalian. Berdoalah, pinta hati yang kuat pergantungannya hanya pada Allah semata mata. Mintalah dengan linangan air mata agar terhapusnya dosa dosa sehingga mudah dan lapangnya perjalanan menuntut ilmu ini.

Perjalanan menjadi alim mujahid (orang berjihad untuk ilmu) ini tidak pernah mudah. Kerana itu sesiapa yang memilih untuk berada dalam jalan ini, Allah permudahkan jalannya ke syurga. Kerana itu untuk kekal dalam jalan ini, usaha kita perlu luar biasa. Doa kita perlu luar biasa. Dan keteguhan iman dan ketinggian taqwa kita haruslah luar biasa!

Selamat menempuh jalan panjang penuh halangan ini. Bekalilah iman dan ketaqwaan yang utuh kepada Allah agar selamat sampai ke destinasi akhir; syurga dengan bahagia.


Comments

Popular Posts