Tinta terluka


Pernahkah engkau merasa terluka dengan perbuatan sendiri? Pernahkah engkau merasa sakit dan lemah, akibat tindakanmu sendiri? Pernahkah engkau merasa menyesal kerana pilihan yang kau buat sendiri? Ketahuilah ini apa yang Allah maksudkan “Sesungguhnya manusia itu menzalimi diri mereka sendiri”. Kita hancur dan luka parah bukan kerana orang lain tapi kerana perbuatan tangan kita.
Wahai wanita yang sudah menemui cinta sejatimu, pasti kau sering merasakan kekesalan. Di saat keimanan menjadi longgar dari pegangan hati dan rintih doa semakin perlahan dimalam hari, kesal dan rindu bersatu di benak hati paling dalam.

Berbeza dengan wanita biasa, ketika ada yang bertanya apakah detik paling bahagia dalam hidupmu, kau tidak pernah menyatakan ianya saat dimiliki sang suami, meskipun saat dianugerah cahaya mata. Sebaliknya hanya senyuman manis yang kau beri dan jawapanmu kau simpan untuk dirimu sendiri- biarlah bahagia itu antara kamu dan Dia, tidak manis lagi jika diketahui yang lain.

Kamu akan mengimbau saat-saat ketinggian iman dan keteguhan kamu dalam melakasanakn syariat dan sunnah RasulNya. Saat tiada satu malam pun yang kamu tidak bangkit untuk menyembah syukur, saat tiada satu minggu pun yang kamu tidak puasa demi melaksanakan sunnah Rasulullah, saat yang menjadi butir bicaramu adalah dalam kesedaran iman dan taqwa. Ya itu pasti saat kau paling bahagia!

Saat kau jatuh dan terluka, terasa begitu jauh daripada cinta sejati mu, itulah saat paling memedihkan dan melemahkan. Jauh daripada cinta sejatimu menyebabkan dirimu terasa sunyi dan kosong. Terasa seperti dunia yang penuh dengan gelak ketawa dan bahagia, lenyap begitu shaja. Kemudian timbul satu persoalan, apakah yang aku cari sebenarnya?

Di saat luka ini mula menjalar di lapisan dagingmu, engkau mulai hilang rasa sakitnya sedikit demi sedikit. Luka parah terasa seperti tiada apa apa. Ubat ubatan belum dicuba semua, tetapi kau sudahpun berputus asa. Merasa si Dia tidak sudi lagi menerimamu kerana ‘rupa’ mu yang sudah tidak seelok dahulu.

Maka tanpa sedar kau sendiri semakin jauh tanpa kau pinta. Bila ditanya, mengapa menjauh? Tidakkah kau rindu pada dia? Hati kecilmu meronta untuk kembali kepadanya. Tetapi apakan daya, luka sudah terlalu dalam. Engkau tidak lagi terdaya menzahirkan rindu.

Meskipun semakin lama engkau semakin menjauh dan semakin pandai menyembunyikan rindumu, Dia masih tetap setia. Kerana dia sentiasa menyayangi dan sentiasa sedia menerima.
Dan untuk kesekian kalinya, kau jatuh. Sekali lagi.

Kali ini luka baru hadir disaat luka luka lama masih belum dirawat. Dunia terasa kosong sekali lagi. Lenyap semua rasa bahgia dan ketenangan, seolah olah ada satu kuasa yang merampas secara tiba tiba. Sedangkan ketika ini, kau sudah memiliki segalanya. Engkau marah pada hakikat yang terjadi - mana mungkin bahagia itu bukan milikmu, disaat yang lain sudah? – pasti itu apa yang kau fikir.

Maka terduduklah engkau seorang di satu sudut gelap- cuba mencari dirimu sendiri dan cuba mencari kembali, masih adakah rindu yang tersimpan di lubuk kalbu dulu?

Tinta ku ini tinta saat aku terluka. Maka jangan kau merasa sendiri dalam mengharungi semua ini. Kita bersama sama kerana kita semua berhijrah. Tiada wanita biasa seperti kita yang tidak pernah terluka dalam menuju solehah dan menuju syurga.

Terluka adalah fitrah insan berhijrah. Terus yakin dan terus berusaha tanpa lelah dan kecewa. Percayalah sampai saatnya nanti, pasti lukamu bakal terawat dengan cintaNya; yang semakin mekar hasil daripada keyakinan dan usaha tanpa henti itu tadi.

Sekian,
semoga kita semua ketemu disyurga nanti! 😊

Comments

Popular Posts