MBBS First Year 2019/2020
Assalamualaikum buat para pembaca,
Terima kasih masih sudi untuk
singgah sebentar, membaca coretan hati dan pengalaman yang biasa-biasa ini.
Asalnya entry kali ni nak buat version “What you need to know before entering
medical school”, tapi rupanya aku lebih gemar menulis content yang santai dan
bersembang sahaja. Perkara formal kadang-kadang membosankan juga (>w<).
Tahniah kepada pembaca yang rata-rata bakal melangkah ke
tahun baru, dan ada juga segelintir yang bakal memasuki satu kehidupan yang
baru. Semoga Allah sentiasa menjaga dan mecurahkan cintaNya kepada kita agar
kita sentiasa sedar dan taat kepadaNya.
Pelajaran pertama untuk satu tahun yang telah aku tempuhi
adalah; SENTIASA BERSYUKUR. Syukur memberi harapan untuk jiwa-jiwa yang hampir
berputus asa. Kegagalan demi kegagalan menggugahkan keyakinan kita terhadap
janji-janji Allah, namun syukur menyelamatkan keyakinan itu. Syukur
mengingatkan kita bahawa kita hamba dan tidak berkuasa. Syukur menyuntik rasa
bersalah pada cinta dan taat yang masih penuh keraguan. Syukur memberi harapan
kerana hanya Allah yang menjaga dan sentiasa ada.
Bersyukurlah,
engkau pasti bahagia dengan jiwa yang sentiasa penuh dengan harapan.
Pelajaran kedua pula; MINTA TANPA HENTI. Meminta adalah
tanda kita memerlukan. Walaupun kadang-kadang diri ini sombong, tanpa sedar
terasa cukup dengan apa yang diusahakan dengan tangan sendiri, tetaplah meminta
kepadaNya. Jangan kau impikan hidup kaya dan senang sentiasa. Tapi impilah
hidup yang sentiasa dekat dengan Allah, agar terjaga iman dan akalmu. Mintalah
sahabat-sahabat yang baik dan yang mengajak kepada kebaikan. Mintalah
kejernihan hati. Mintalah pengakhiran yang baik. Lihatlah sendiri
perlahan-lahan, dunia akan tunduk dan datang kepadamu. Bukankah itu janji
Allah?
Tadahlah tangan dan berdoa disaat yang lain sedang lena dibuai mimpi, kerana Allah tidak akan menyia-nyiakan rintihan hambaNya.
Bersedia untuk pelajaran ketiga? Yang ketiga adalah; MENADAH
ILMU DENGAN IKHLAS. Imam Syafi’e bermadah dalam salah satu syairnya, bahawa beliau
memberitahu gurunya tentang keadaan hafalannya yang tidak baik. Gurunya
menasihatkan: jauhilah maksiat. Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan memasuki
jiwa-jiwa yang bermaksiat. Dalam perjalanan menuntut ilmu, banyak godaan-godaan
kemaksiatan akan datang untuk mengeruhkan kejernihan hati. Ikhlaskan hati
dengan cara banyakkan muhasabah. Sudahkan ilmu yang dipelajari itu meresap
kedalam hati atau sekadar di akal? Adakah kita belajar untuk mengajar atau
hanya sekadar untuk menjadi yang pertama?
Marilah kita ikhlaskan hati ini, kerana tanpa ikhlas ilmu itu hanya membinasakan diri.
Pelajaran keempat bukan bermakna ianya kurang penting
berbanding pelajaran ‘top 3’. Bahkan sama penting semuanya. Yang keempat
adalah; BERSANGKA BAIK. Di fasa ini engkau perlu benar-benar mengerti bahawa
hubungan dengan manusia itu perlu dijaga dan diambil kira. Bermacam ragam dan
latar belakang tidak meletakkan sesorang itu berbeza daripada yang lain. Allah
hanya menilai taqwa.
Bersangkalah
yang baik-baik, sesungguhnya itu adalah selemah-lemah ukhuwah
Yang terakhir dariku, tidaklah lain tetapi yang paling
utama. Tunjang dan punca setiap hembusan nafas dan degupan jantung. Iaitu, BERGANTUNG
KEPADA ALLAH. Biar apa kata manusia. Usah bergantung kepada hasil perkiraanmu
atau perkiraan mereka. Sunnatullah, siapa yang berusaha dia akan berjaya dan
kuasa Allah, natijahnya bisa walaupun kau berusaha. Kerana itu tak usah
bazirkan perasaan dan waktumu pada sangkaan dan perkiraan manusia.
Berkira-kiralah dan berusaha. Kemudian serahkan semuanya untuk diurus oleh
Allah. percayalah, engkau pasti berjaya. Tidak disini, disana nanti pasti.
Aku
bersaksi bahawa tiada sembahan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.
Semoga coretan pengajaran hidup aku ini memberi sedikit
warna agar hidupmu juga bermakna. Terima kasih pembaca, semoga Allah mengambil
kira setiap amalan kita.
Comments
Post a Comment