JALAN KE SYURGA
Semester kali ini baru bermula.
Tetapi sudah dihiasi air mata dan kepenatan yang tidak dapat dijelaskan. Terlalu penat emosi dan fikiran. Setiap kali aku memilih jalan keredhaan dan jalan mendekati Tuhan, semakin berat ujian yang datang.
Tak terkira sudah berapa kali rasa untuk belajar itu mati. Andai sahaja kita boleh berhenti melakukan perkara yang dirasakan susah, pasti hidup ini begitu mudah. Susah nak belajar, berhenti. Tak rasa nak belajar, berhenti.
Sedangkan ujian dan kepayahan itu datang bukan untuk dielak tapi untuk dihadapi.
Semakin engkau dihenyak ujian, semakin engkau kuat. Belajar untuk mengawal emosi dengan sentiasa redha dan ikhlas. Cari sumber ketenangan yang benar dan hakiki, bukan yang sementara dan pura-pura.
Seorang penulis dalam bukunya berkata: sumber kejayaan dan ketinggian ruh itu ada pada Al-Quran. Pada setiap pembacaan terdapat pahala, pada setiap pemahaman dan penghayatannya terdapat cahaya dan pada setiap pengamalannya terdapat bukti keimanan.
Seorang murabbi sering berpesan: jalan menuntut ilmu itu jalan ke syurga. Maka betahlah kamu dijalan ini, teruslah berjuang biar apa pun halangan dan dugaan. Kerana hadiahnya adalah nikmat di negeri abadi.
Mendengar dua pesanan ini, jiwa ini bergetar dan terasa digoncang. Air mata tiba-tiba mengalir kerana seluruh tubuhku telah diselimut sebuah emosi aneh.
Sebesar mana pun kesalahan kita, sejauh mana pun kita dengan Allah pada saat ini, Dia setia menanti dan menyambut kepulangan (taubat) kita. Didiklah hati agar lembut ketika diberi pesanan dan peringatan. Didiklah jiwa agar tabah ketika dihantar kesusahan dan kesulitan.
Wahai para penuntut ilmu, bersabarlah dan dampingilah Al-Quran. Dirikan tahajud dan panjangkan doamu. Jalan menuntut ilmu ini dicemburui syaitan laknatullah, kerana mereka tidak ingin kita ke syurga. Teguhkan pijakan kakimu dan hayunkan langkah. Allah itu ada dan sentiasa dekat, yakinlah kita tidak pernah berseorangan.
Percayalah, untuk bahagia dan berjaya, kita tidak ada pilihan melainkan untuk kembali (bertaubat). Semoga Allah meneguhkan jiwa dan anggota kita untuk terus berbakti dan berkorban, supaya Allah pandang dan Allah redha.
Ini hanya satu lembaran, dari kisah -kisah jalan menuju syurga.
Comments
Post a Comment