dearlittledoctor #2

Hari ini aku berjumpa dengan seorang pesakit psikiatri.

Umurnya baru belasan tahun, masih lagi seorang pelajar di sebuah sekolah menengah kebangsaan. Namun, aku tidak menyangka bahawa seorang remaja seusia adikku ini telah melalui pelbagai kisah menyayat hati. Menjadi mangsa physical abuse dan sexual harrassement, tanpa sokongan dan kepercayaan ibu bapa, aku mula mengerti bagaimana dia menjadi begitu tertekan sehingga sanggup mencederakan diri sendiri.

Aku bermuhasabah. Banyak persoalan muncul, namun tidak aku lontarkan semuanya, kerana khawatir mengguris hati.

Kenapa ibunya memilih untuk masih bersama dengan si bapa tiri? Emosi anak-anak mereka semakin terseksa hari demi hari, selama bertahun lamanya, kerana seorang figura bapa yang panas baran dan mudah ‘mengangkat tangan’.

Oh, mungkin kerana sang suami adalah satu-satunya breadwinner, yang menyumbang dalam ekonomi rumahtangga.

Meskipun begitu, bagaimana sanggup seorang ibu bertahan melihat anak yang dikandungnya diperlakukan sebegitu sekali. Apakah yang lebih bernilai kepada seorang ibu daripada keselamatan dan kebahagiaan seorang anak.

Semuanya tidak masuk akal. Aku jijik dengan kelakuan si bapa, dan kecewa dengan kemampuan sang ibu ‘bertahan’ dalam rumahtangga ini. Aku menahan sebak.

Diri aku terpanggil untuk menulis sedikit catatan refleksi.

Adik itu berkata ‘Saya pernah cuba untuk mengambil nyawa saya, tetapi tak berjaya pula kerana ibu saya telah menyelamatkan saya. Serabut betul lah, ibu saya tu,’

Katanya lagi ‘Keluar daripada ward ini, saya telah putuskan untuk dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Saya tak sanggup dah pulang ke rumah. Bertambah stress,’

Aku menahan sebak lagi. Inilah jiwa-jiwa yang sedang keliru, dibawa hanyut oleh ujian kehidupan yang begitu berat sekali. Sedangkan aku, masih seringkali menyia-nyiakan nikmat keimanan yang aku miliki pada saat ini.

Seandainya aku tersepit dengan ujian yang begitu berat sekali, dan disuruh memilih antara dua pilihan, adakah aku akan kekal memilih jalan keimanan? Sedangkan jalan itu lumrahnya sukar, dan panjang. Tidak ramai yang bersama-sama di jalan itu. Jalan yang terasing dan jalan yang terpinggir dari kebiasaan masyarakat. Hati ini berbisik lagi ‘mampukah aku untuk membawa masyarakat kembali kepada keimanan, dan kepada mengenal Allah?’.

Sesungguhnya pilihan keimanan adalah satu-satunya pilihan yang menyelamatkan. Pilihan yang sentiasa memberikan harapan keampunan dan jalan pulang.

Ruh masyarakat kita sedang dalam keadaan sakit yang tenat. Jiwa-jiwa mereka kosong dan mereka tiada panduan pulang. Kain putih yang seharusnya dicorak dengan corak Aqidah salimah (aqidah yang sejahtera), dan dicetak dengan cetakan tarbiyah rabbaniyyah (didikan bersumberkan ketuhanan (Rabbani)), telah rosak dan busuk, kotor dan hitam. Mereka tiada pegangan dan perlindungan, dan kerana tiada keimanan yang meresap di dalam hati, maka tiada yang menyelamatkan.

Jika begitu, bagaimana seharusnya aku?



Adakah cukup dengan merasa kasihan dan empati terhadap masyarakat yang menjadi mangsa cengkaman sistem jahiliyah pada hari ini? Atau cukup sekadar mendoakan mereka di dalam hati, tanpa berbuat apa-apa dalam usaha memperbaiki?

Tarbiyah melahirkan pemimpin, dakwah merubah masyarakat,” kata-kata seorang murabbi, Dato Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain. 

Ianya bukanlah masuliyah (tanggungjawab) yang mudah dipikul sendiri, melainkan harus dipikul bersama-sama. Bergerak dalam satu barisan tersusun dan merancang dengan teliti untuk menyampaikan kefahaman Islam kepada ahli masyarakat melalui didikan keimanan, sehingga lahirnya iman yang tulen dan iman yang hidup.

Semoga dalam kekecewaan dan pedihnya hati ini, Allah terus kurniakan kita harapan dan kekuatan, dalam perjuangan menjadi penyambung rantai dakwah baginda Rasulullah saw, tidak kira di posisi manapun kita berada. 

Aameen, aameen. 

Comments

Popular Posts